Monday, June 15, 2009

Siapa Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Makki Al-Hasani?

Nama beliau ialah Sayyid Muhammad ibn 'Alawi ibn Abbas ibn Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani.
Berasal dari keturunan yang mulia iaitu keturunan Sayyiduna Hasan ibn Sayiduna Ali R.A dan terkenal sebagai ulama' di Makkah al-Mukarramah.
Dilahirkan di rumahnya di Bab al-Salam pada tahun 1369 H.

Beliau pernah menuntut ilmu di Makkah dalam halaqah tradisi di Masjid al-Haram dan di al Azhar al Syarif.
Di antara gurunya ialah:
1) Ayahandanya Sayyid 'Alawi ibn Abbas al Maliki
2) Syeikh Hasan Muhammad al Mashsyat
3)Syeikh Muhammad 'Arabi al-Tabbani
4) Syeikh Muhammad Nur Saif ibn Hilal
5) Syeikh Hasan ibn Sa'id al Yamani
6) Syeikh Muhammad Yahya Aman
7) Syeikh Muhammad Zakaria al-Saharanfuri (Syeikh Hadith di India)
8) Syeikh Muhammad Yusof al Banuri (Syeikh Hadith di Pakistan)
9) Syeikh Muhammad al Hafiz ibn Salim al Tijani (Syeikh Hadith di Mesir)
10) Syeikh Soleh ibn Muhammad al Ja'fari (Imam Jami' al-Azhar)

Beliau mendapat ijazah Kedoktoran dalam bidang hadith di Universiti al Azhar dengan taqdir mumtaz (cemerlang) ketika berusia 25 tahun. Selepas kemangkatan ayahandanya pada malam Rabu 25 Safar 1391 Hijrah, beliau dilantik menjadi tenaga pengajar di Masjid al Haram menggantikan tempat ayahandanya melalui persepakatan ulama' Masjid al Haram

Beliau telah menggembara ke negara-negara Islam untuk menuntut ilmu. Di antara negara tersebut ialah Morocco, Mesir, India, Pakistan dan lain-lain. Ramai di kalangan ulama' yang ditemuinya di sana dan beliau telah mendapat ijazah daripada mereka. Beliau juga banyak bermusafir untuk bedakwah pada jalan Allah seperti Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, dan negara-negara lain. Semasa berada di Indonesia, beliau telah mengasaskan 30 buah pusat ilmu dan dakwah untuk menyebarkan dan mempertahankan agama Islam yang sohih.

Semenjak muda lagi, beliau telah diberi kepercayaan untuk mengajar di Masjid al Haram semua bidang ilmu Islam terutamanya bidang yang menjadi kepakarannya iaitu ilmu hadith dan usul. Beliau juga pakar dalam bidang feqah Mazhab Maliki dan lain-lainnya. Di sana, beliau dihormati dan dimuliakan. Halaqah pengajiannya di Masjid al Haram diadakan pada setiap malam selepas Maghrib dan Isya'. Beliau menyampai dan menyambung pengajiannya dari satu bidang ke satu bidang dengan begitu bersungguh-sungguh demi memberikan manfaat kepada anak-anak muridnya selagi yang duduk di hadapannya ialah orang-orang yang menginginkan ilmu, bertaqwa kepada Allah dan berpegang kepada agama serta menunaikan syariat. Beliau sering menziarahi rumah anak-anak muridnya yang sakit dan sentiasa bertanyakan keadaan mereka. Beliau suka menerima undangan mereka dan tidak bersifat takabbur dan sombong untuk duduk bersama-sama di atas satu hamparan.

Orang ramai berbut-rebut untuk mengikuti halaqah pengajiannya pada bulan Ramadhan menunjukkan kehebatan dan ketinggian ilmunya. Lebih daripada seribu orang murid yang terdiri dari pelbagai bangsa dan negara datang untuk mendengar pengajarannya pada bulan Ramadhan.

Beliau pernah menjadi pensyarah Kuliah Syariah si Universiti Malik Abdul Aziz Makkah alMukarramah dari tahun 1390 hingga 1399 Hijrah. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ahli Pertubuhan Perikatan Islam Sedunia dan sering menjadi pembentang kertas kerja di dalam Muktamar Islam. Pada tahun 1392 Hijrah, beliau telah membentangkan kertas kerja mengenai orientalis dalam Nadwah Pemikiran Islam Sedunia sebagai mewakili kerajaan Arab Saudi dalam majlis pembukaan Markaz Islam di Nigeria. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Lujnah Hakim dalam Majlis Tilawah al Quran peringkat antarabangsa di Arab Saudi pada tahun 1399 H, 1400 H dan 1401 H.

Beliau juga terkenal sebagai seorang penulis yang hebat, berani dan disegani. Antara kitab karangannya ialah :
1) Huwa Allah
2) Imam Dar al Hijrah Malik ibn Anas
3) Fadhl al Muwattho'
4) Tarikh al Hawadith
5) Al Toli' al Sa'id al Muntakhab min al Musalsalat wa al Asanid
6) Al Manhal al Latiff
7) Syariah Allah al Khalidah
8) Al Qawaid al Asasiyyah fi Ulum al Hadith
9) Al Qawaid al Asasiyyah fi Ulum alQuran
10) Al Qawaid al Asasiyyah fi Usul al Fiqh
11) Mafahim Yajibu an Tusohhah
12) Muhammad al Insan al Kamil
13) Al Zakhair al Muhammadiah
14)Duru' al Wiqayah bi Ahzab al Himayah
15) Abwab al Faraj
16) Syawariq al Anwar min Ad'iyah al Saadah al Akhyar
17) Qul Hazihi Sabili
18) Al Qudwah al Hasanah fi Manhaj al Dakwah ilallah

Majlis Pengajiannya yang terakhir diadakan di rumahnya sendiri yang terletak di Rusaifah, Makkah al Mukarramah yang menjadi tempat tumpuan penuntut ilmu dan juga ulama' dunia Islam. Pada setiap musim haji, beliau akan mengadakan majlis perjumpaan di antara ulama' di rumahnya.

Setelah bertungkus lumus memerah otak dan mengharungi pelbagai onak dan duri dalam menegakkan agama Allah yang tercinta, beliau akhirnya dijemput Ilahi dengan tenang pada waktu Sahur hari Jumaat 15 Ramadhan 1425 Hijrah bersamaan 29 Oktober 2004 Masihi. Pemergian pejuang agama yang tidak mengenal erti jemu dan penat ini, ditangisi oleh jutaan umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Semoga pemergiannya menjadi i'tibar kepada umat Islam yang masih lena dan membakar semangat pendakwah agama Allah. Semoga Allah menempatkannya bersama nendanya, Sayyiduna Rasulullah SAW. Amin.

About The Author
Michi, that's my nickname. Im just an ordinary blogger. Searching for Mardhatillah. I'm hoping something. For those who knew me already, they will know what I looking for. Pray for my strenght and my success. I want to fly without wings... And I really what I think... (^_^) LuKLuK BaiDoa
Share This
Subscribe Here

0 comments:

 

Challenge Me!

Promote This Blog

Visitors

...::Lukluk Baidoa::..