Tuesday, September 8, 2009

Kedudukan Makhluk

Adapun Nabi Muhammad SAW, kami beri’tiqad bahawa Baginda SAW juga adalah manusia yang harus ke atas baginda SAW apa yang harus ke atas manusia yang lain seperti mengalami suatu hal yang mendatang dan ditimpa penyakit; yang tidak mengurangi kwibawaan Baginda SAW sebagai seorang Nabi SAW dan tidak melarikan orang daripadanya. Benarlah apa yang dikatakan oleh seorang ahli aqidah:

“Para Nabi harus pada hak mereka itu ditimpa suatu perkara yang lazim menimpa manusia biasa, dengan tidak mengurangi (kewibawaan mereka), seperti ditimpa sakit yang ringan.”

Nabi Muhammad SAW adalah seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudharatan atau mendatangkan manfaat, mematikan atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman :

(Surah Al-A’raaf : 188)

Katakanlah, “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfa’at bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang member amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, menasihati ummah, menghapuskan dukacita dan berjihad di jalan Allah sehingga kewafatan Baginda SAW. Kemudian Baginda SAW kembali ke hadrat Tuhannya SWT dalam keadaan redha dan diredhai, sebagaimana firman Allah SWT :

Surah Al-Zumar : 30)

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad!) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.”

Firman Allah :

(Surah Al-Anbiyaa’ : 34)

“Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelum kamu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad!), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?”

Sifat ‘ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat Baginda SAW. Oleh kerana itu, Baginda SAW berbangga dengannya sebagaimana sabdanya :

Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah.”

Allah SWT telah meyifatkan Baginda SAW sebagai hambaNya, pada setinggi-tinggi maqam (ketika Allah menceritakan anugerah Isra’ kepada Baginda SAW) sebagaimana firmanNya :

(Surah Al-Israa’ : 1)

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya…”

Begitu juga firman Allah SWT :

(Surah Al-Jin : 19)

“Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka(1) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya.”

(1) Iaitu, golongan jin yang mendengar Baginda SAW membaca al-Quran dalam solatnya. Mereka mengerumuninya beramai-ramai kerana ta’jub melihat Baginda SAW beribadat, mendengar Baginda SAW membaca, dan menyakdikan cara sahabat-sahabat Baginda mengikut di belakangnya.

Sifat manusiawi Baginda SAW ini merupakan mu’jizat baginya. Baginda SAW adalah manusia seperti manusia yang lain. Tetapi, Baginda SAW jelas jauh berbeza daripada manusia umum; tanpa ada seorang manusia pun yang dapat menandinginya atau menyamainya. Baginda SAW sendiri pernah bersabda di dalam hadith shohih mengenai keistimewaan dirinya :

“Sesungguhnya aku tidak seperti kamu. Aku tidur di sisi Tuhanku sambil diberi makan dan minum.”

Dengan ini, jelaslah bahawa menyifatkan Rasulullah SAW sebagai manusia biasa wajib disertai dengan keistimewaannya yang membezakannya daripada manusia umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji. Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian dan layak dengan maqam dan kedudukan mereka.

Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang-orang Jahiliyyah. Di dalam al Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Di antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh AS mengenai nabi mereka sebagaimana dihikayatkan oleh Allah dalam firmanNya :

(Surah Hud : 27)

“Maka berkata ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya, “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami.”

Ayat yang lain ialah perkataan kaum Nabi Musa AS dan Harun AS mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran :

(Surah Al-Mu’minun : 47)

“Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), “Patutkah kita beriman kepada duam manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israel) menjadi orang-orang suruhan kita?”

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Thamud kepada nabi mereka iaitu Nabi Soleh AS, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam al Quran al Karim :

(Surah Al –Syu’araa : 154)

“Engkau hanyalah seseorang manusia seperti kami, oleh itu, bawakanlah satu benda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar.”

Hal yang sama pernah juga dilakukan oleh kaum Nabi Syu’aib AS yang memandang nabi mereka sebagai manusia biasa, bahkan sebagai seorang pendusta, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firmannya :

(Surah Al-Syu’araa : 185)

“Mereka berkata, “Sesungguhnya engkau adalah dari kalangan pelaku sihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesuungguhnya kami fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta.”

Bagitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang-orang musyrik terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka hanya memandang Baginda SAW sebagai manusia biasa, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam KitabNya :

(Surah Al-Furqaan : 7)

“Dan mereka pula berkata, “Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?”

Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dalam sabdanya tentang kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya dengan semulia-mulia sifat dan pelbagai perkara yang mencarik adat (mukjizat) yang membezakannya daripada manusia yang lain(2).

(2) Perbahasan khusus mengenai tajuk ini akan dating, menerusi tajuk : Para Nabi itu Manusia, Tetapi…”

Di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW sendiri mengenai peribadinya di dalam hadith sohih :

“Kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur.”

Di dalam hadith sohih yang lain, Baginda SAW bersabda :

“Sesungguhnya aku dapat melihat kamu dari belakangmu sebagaimana aku melihatmu dari depanku.”

Baginda SAW juga bersabda :

“Aku dianugerahkan kunci-kunci perbendaharaan bumi.”

Meskipun pada fizikalnya, Baginda SAW telah wafat, tetapi Baginda SAW masih hidup dengan kehidupan Barzakhiyyah (di alam Barzakh) secara sempurna. Baginda SAW dapat mendengar perkataan orang yang masih hidup di dunia dan mendengar salam mereka serta menjawabnya. Bahkan, disampaikan kepada Baginda SAW setiap selawat yang diucapkan kepada Baginda SAW dan juga diperlihatkan kepadanya segala amal perbuatan umatnya.

Baginda SAW berasa senang dan gembira dengan amal soleh orang-orang yang baik, dan sentiasa meminta keampunan bagi umatnya yang melakukan dosa. Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad Baginda SAW yang sentiasa terpelihara daripada sebarang kerosakan dan pemusnah yang terdapat di dalam bumi.

Diriwayatkan daripada Aus ibn Aus RA, beliau berkata sabda Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya, di antara hari kamu yang paling mulia ialah hari Jumaat. Pada hari itulah Nabi Adam AS diciptakan dan pada hari itu juga beliau diwafatkan. Pada hari Jumaat juga, terjadinya tiupan sangkalala, dan pada hari itu juga terjadinya so’iqah (petir dahsyat atau Kiamat). Maka perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku pada hari itu kerana salawat kalian akan dipersembahkan kepadaku.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah ! Bagaimanakah salawat kami akan dipersembahkan kepadamu, padahal engkau telah binasa?” Baginda SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi.”

(Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, dan Ibnu Hibban dalam Sohihnya; Imam Hakim pula mensohihkannya.)

Berkenaan permasalahan ini, al Hafiz Imam Jalaluddin al Suyuti RA telah menulis risalah khusus yang dinamakan Anba’ al Azkiya’ bi Hayah al Anbiya’ (Perkhabaran Orang Cerdik Pandai Mengenai Kehidupan Para Nabi).

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud RA, daripada Raulullah SAW yang bersabda:

“Kehidupanku adalah baik bagi kamu, kamu berbicara (bertanya masalah dan hukum kepada Baginda SAW) dan dibicarakan bagi kamu (dengan wahyu dan syari’ah daripada Allah melalui perantaraan Baginda SAW). Kewafatanku juga adalah baik bagi kamu kerana dibentangkan amalan kamu ke atasku. Apa yang aku lihat dari amalan itu baik, maka aku memuji Allah dan apa yang aku lihat dari amalan itu jahat, aku memohon keampunan kepada Allah untuk kamu.”

(Al-Haithami mengatakan bahawa hadith ini diriwayatkan oleh al Bazar, dan rijalnya adalah sohih)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Tiada seorang pun yang mengucapkan salam ke atasku kecuali Allah mengembalikan kepadaku ruhku, sehingga aku (dapat) menjawab salamnya.”

(Riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Menurut sebahagian ulama’, maksud Allah mengembalikan ruhku ialah: “Allah mengembalikan kepadaku kemampuan untuk berbicara.”

Diriwayatkan pula daripada ‘Ammar ibn Yasir RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya Allah SWT mewakilkan pada kuburku malaikat yang diberikan nama-nama makhluk kepadanya. Maka tidak ada seorang pun yang membaca selawat ke atasku hingga hari Kiamat, melainkan dia menyampaikan kepadaku nama orang tersebut beserta nama ayahnya, “Ini Fulan ibn Fulan telah berselawat ke atasmu.”

Hadith ini diriwayatkan oleh al Bazzar dan Abu al Syeikh Ibnu Hibban dengan lafaz.

Sabda Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi mempunyai malaikat yang diberikan kepadanya nama-nama makhluk. Malaikat tersebut berdiri di maqamku apabila aku telah wafat. Maka tidak seorang pun yang berselawat ka atasku, kecuali malaikat itu berkata, “Wahai Muhammad! Fulan ibn Fulan telah berselawat ke atasmu”. Baginda SAW bersabda, “Maka Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi membalasnya bagi setiap satu salawat dengan sepuluh kebajikan.”

(Riwayat Imam al Tabarani RA di dalam al Kabir sepertinya).

Berdasarkan hadith tersebut, jelaslah bahawa meskipun Baginda SAW telah wafat, tetapi kemulian, kedudukan dan pangkatnya yang tinggi di sisi Tuhannya tetap kekal dan tidak diragui lagi di sisi orang-orang yang beriman. Oleh hal yang demikian, bertawassul kepada Allah dengan perantaraan Baginda SAW, pada hakikatnya kembali kepada i’tiqad wujudnya makna-makna tersebut dan kepercayaan Baginda SAW dikasihi dan dimuliakan oleh Allah, juga berdasarkan keimanan dengan Baginda SAW dan risalahnya.

Bertawassul dengan Baginda SAW, bukanlah suatu penyembahan kepadanya kerana walau sebesar dan setinggi mana pun darjat Baginda SAW, Baginda SAW tetap makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak berkuasa menolak sebarang kemudharatan dan mendatangkan sebarang manfa’at kecuali dengan keizinanNya.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman :

(Surah Al-Kahfi : 110)

“Katakanlah (wahai Muhammad!), “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu.”

Oleh Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi AlMaliki AlMakki Al Hasani

Buku: Kefahaman yang wajib diperbetulkan
About The Author
Michi, that's my nickname. Im just an ordinary blogger. Searching for Mardhatillah. I'm hoping something. For those who knew me already, they will know what I looking for. Pray for my strenght and my success. I want to fly without wings... And I really what I think... (^_^) LuKLuK BaiDoa
Share This
Subscribe Here

1 comments:

Putra Al-Maliki on October 5, 2009 at 8:34 AM said...

Contohilah keperibadian Rasulullah... =)

 

Challenge Me!

Promote This Blog

Visitors

...::Lukluk Baidoa::..