Thursday, November 5, 2009

Perkara Yang Menjadi Persamaan Di Antara Dua Maqam Tidak Menafikan Tanzih (Kesucian Allah)

Ramai manusia yang tersilap dalam memahami beberapa perkara yang menjadi persamaan hak Khaliq dan hak makhluk. Mereka menyangka bahawa dengan menisbahkan atau menyandarkan hak Allah kepada makhluk merupakan perbuatan syirik.

Di antara perkara yang menimbulkan permasalahan ini ialah sebahagian daripada khususiat Nabi SAW (Keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Rasulullah SAW sahaja) yang tidak difahami dengan sebenar-benarnya. Mereka melihat, menyifatkan Nabi SAW dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan oleh Allah tersebut bermakna menyifatkan Baginda SAW dengan sifat-sifat Ketuhanan. Ini jelas merupakan satu kejahilan kerana Allah SWT Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berhak memberikan apa sahaja kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya, tanpa ada yang mewajibkan atau memaksaNya. Dia juga berhak mengurniakan dan memuliakan sesiapa sahaja yang hendak diberikan kemuliaan, dinaikkan kedudukan dan dizahirkan kelebihannya atas manusia yang lain.

Ini bukan merupakan pencabutan atau pencabulan hak-hak Allah SWT sebagai Pentadbir Alam dan juga sifat-sifatNya sebagai Tuhan Yang sidembah. Hak-hak Allah dan juga sifat-sifatnya tersebut tetap terpelihara sesuai dengan mawamNya. Apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendakNya; bukan dengan kekuatan makhluk ataupun pentadbiran atau perintahnya kerana makhluk itu leah dan tidak berkuasa memberi manfa'at dan menolak kemudharatan daripada dirinya sendiri, begitu juga mematikan atau menghidupkan.

Telah berapa banyak keistimewaan yang menunjukkan bahawa ia adalah hak Allah SWT, tetapi Dia berkenan mengurniakan kepada NabiNya Muhammad SAW dan nabi-nabi yang lain. Dalam pada itu, tidaklah diangkat darjatnya hingga sampai ke maqam Ketuhanan atau menjadi sekutu Allah.

Di antara khusussiat tersebut ialah syafa'at. Syafa'at pada hakikatnya adalah milik Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam yang bermaksud :

Katakanlah (wahai Muhammad!), "Syafa'at itu semuanya hak kepunyaan Allah". (Surah Az-Zumar ; Ayat 57)

Tetapi syafa'at juga menjadi hak Rasulullah SAW dan orang lain yang diberikan hak memberi syafa'at DENGAN IZIN ALLAH SWT. Dalam hadith Rasulullah SAW diebut :

وأتيت الشفاعة

"Aku dikurniakan syafa'at"

Dalam hadith lain disebut :

انا أول شافع ومشفع

"Aku adalah orang pertama yang akan memberikan syafa'at dan juga yang pertama diizinkan memberi syafa'at".

Keistimewaan yang lain adalah ilmu ghaib. Pada asalnya, mengetahui perkara yang ghaib hanya milik Allah SWT, sebagaimana firmaNya dalam yang bermaksud :

"Katakanlah lagi, "Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib selain Allah" (Surah Al-Naml ; Ayat 65)

Tetapi telah thabit, bahawa Allah SWT juga mengajar dan mengurniakan kepada NabiNya tentang perkara ghaib tersebut. Allah SWT berfirman dalam surah yang bermaksud :

"Tuhanlah sahaja Yang Mengetahui segala yang ghaib. Maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rausl yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasNya, apabila Tuhan hendak melaksanakan yang demikian" (Surah Al-Jin ; Ayat 26,27).

Keistimewaan lain adalah memberi hidayah. Pada asalnya, memberi hidayah adalah hak khusus bagi Allah SWT, sebagaimana firmaNya yang bermaksud :

"Sesungguhnya engkau tidak dapat memberi hidayah kepada orang yang engkau sukai, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya." (Surah Al-Qasas ; Ayat 56)

Tetapi dalam ayat yang lain kita menemui bahawa Nabi Muhammad SAW diberi hak untuk memberikan hidayah atau menunjuki manusia ke jalan yang lurus. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad!) ialah pemberi petunjuk (dengan Al-Quran itu) ke jalan yang lurus". (Surah Al Syuuara ; Ayat 52).

Hidayah dalam ayat yang pertama (yang menjadi hak Allah SWT tidak sama dengan hidayah dalam ayat yang kedua (yang menjadi hak Nabi Muhammad SAW untuku memberikannya). Hal yang demikian, hanya dapat difahami oleh orang-orang Mukmin yang berakal; yang dapat mengenal perbezaan Khaliq dan makhluk. Jika tidak demikian, tentu perlu dikatakan :

"Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad!) hanya memberi hidayah bimbingan".

Ataupun, allah mengatakan:

"Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar dapat memberi hidayah yang bukan seperti hidayah yang Kami (Allah) berikan".

TETAPI UNGKAPAN SEDEMIKIAN TERNYATA TIDAK TERJADI. Bahkan, sebutan kata 'hidayah' hanya secara mutlak, tanpa ada sebarang keterangan, syarat atau ikatan kerana ahli Tauhid di antara kita, di kalangan kaum Mukmin yang menjadi sasaran ayat al-Quran ini, akan dapat memahami makna-makna yang tersirat dari ayat al-quran dan mengetahui perbezaan kandungan atau muatannya ; baik yang dinisbahkan kepada Allah SWT Yang Maha Mencipta, mahupun yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai makhlukNya.

Perbandingannya, sebagaimana yang didatangkan di dalam al-Quran bahawa Rasulullah SAW disifatkan dengan sifat-sifat belas kasihan dan pengasih sebagaimana firmanNya yang bermaksud :

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat keberatan kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman" (Surah Al-Taubah ; Ayat 128)

Allah SWT juga menyifatkan diriNya dengan kedua-dua sifat tersebut dalam pelbagai ayat. Misalnya firman Allah salam surah al Taubah ayat 117 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka"

Perlu diketahui bahawa sifat belas dan pengasih yang kedua (yang menjadi sifat Allah) tidak sama dengan sifat belas dan kasih yang pertama (yang menjadi sifat Nabi Muhammad SAW). Ketika Allah menyifatkan NabiNya dengan kedua-dua sifat tersebut, Allah SWT menyebutkannya secara mutlak, tanpa syarat dan ikatan, atau sebrang keterangan, kerana yang menjadi sasaran firmaNya adalah orang Mukmin yang mentauhidkan Allah dan beriman denganNya; serta dapat membezakan di antara sifat Khaliq dan makhluk. Sekiranya tidak, sudah pasti Allah SWT perlu pula berfirman dalam menyifatkan Baginda SWT dengan firmanNya :

"Nabi Muhammad itu seorang yang belas kasihan dengan belas kasihan yang tidak seperti belas kasihan Kami, dan pegasih dengan sifat yang tidak seperti rasa kasih Kami."

Atau mungkin perlu dikatakan :

"Dia sangat belas kasihan dengan rasa belas kasihan kemanusiaan dan sangat pengasih dengan sifat kasih kemanusiaan".

TETAPI, SEMUA ITU TIDAK PERNAH BERLAKU. Di dalam firmanNya, disebut secaramutlak, bahwa Nabi Muhammad SAW ada;ah ra'uf (sangat belas kasihan terhadap orang-orang Mukmin), dan rahim (sangat penngasih)."

Tulisan : Prof Dr Sayyid Muhammad Ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani

About The Author
Michi, that's my nickname. Im just an ordinary blogger. Searching for Mardhatillah. I'm hoping something. For those who knew me already, they will know what I looking for. Pray for my strenght and my success. I want to fly without wings... And I really what I think... (^_^) LuKLuK BaiDoa
Share This
Subscribe Here

1 comments:

iqbalsyarie on November 15, 2009 at 12:03 AM said...

wah...perlu baca beberapa kali baru dapat faham~hehe
thanks berkongsi ea

 

Challenge Me!

Promote This Blog

Visitors

...::Lukluk Baidoa::..