Friday, May 7, 2010

Ibarat Pokok Yang Rendang

Secara kasar, suami adalah pelindung umpama pokok rendang sebagai tempat isterinya berteduh. Bagi lelaki pula, isteri adalah maruah dirinya yang harus dipelihara sebaik mungkin.

.

A. TEMPAT BERLINDUNG

Perempuan mudah merasa takut dan bimbang apabila melihat pokok tempat dia berlindung digoyangkan oleh ribut. Lelaki pula cepat tersinggung jika maruahnya diusik. Jika sifat yang semula jadi ini beada dalam kawalan, ia dianggap normal.

Tetapi jika ia melebihi had dan kawalan, maka ia dianggap sebagai penyakit. Di antara penyakit itu ialah cemburu.

Biasanya, cemburu menawan hati lelaki ketika berada dalam arus percintaan dan akan menjadi reda setelah berkahwin. Perkara yang sebaliknya pula berlaku kepada perempuan. Rasa cemburu kurang ketara pada perempuan semasa mereka bercinta tetapi ia ketara selepas berkahwin.

Fenomena ini terjadi kerana semasa bercinta, lelaki bimbang kekasihnya direbut oleh lelaki lain. Kerana itu, dia mudah berasa cemburu. Apabila sudah berkahwin, persaingan untukmemiliki gadis yang dicintainya itu semakin rendah dan keadaan ini menenangkan jiwanya.

Bagi perempuan pula, percintaan adalah zaman di mana dia diburu, dihargai, disanjungi dan dibelai. Layanan yang diterima membuatkan dia merasa selamat dan bahagia.

Perkahwinan pula adalah satu alam yang berbeza. Apabila sudah menjadi isteri, dia tidak lagi mempunyai peluang lain. Kerana itu dia merasa cemburu dan bimbang suami tidak menyayanginya.

Kedamaian dan ketenteraman adalah perasaan yang wujud dalam jiwa. Jiwa boleh diisi dengan berbadai-bagai perasaan. Jika kuat perasaan negatif, maka lemahlah perasaan positif dan begitu juga sebaliknya.

Perasaan negatif akan muncul dalam jiwa dari semasa ke semasa. Setiap pasangan harus menerima hakikat ini. Manusia mempunyai jiwa atau hati. Istilah yang sering digunakan ialah 'kalbu' yang bererti 'yang berbolak-balik'.

Oleh kerana manusia memiliki kalbu maka manusia akan mengalami keadaan jiwa yang berbolak balik dan tidak tetap.

Perasaan negatif dan positif boleh muncul silih berganti. Seseorang itu haruslah bijak menangani keadaan yang berbolak-balik ini. Jika perasaan negatif muncul dalam jiwa suami, maka isteri haruslah membantu suami mengeluarkan perasaan tersebut walaupun perasaan itu mengenai diri isteri itu sendiri.

.

B. MENYERLAH KASIH

Ramai wanita yang menganggap teguran daripada suami sebgai satu tamparan yang hebat, menjatuhkan maruah dan mungkin timbul anggapan yang suaminya sudah tidak menyayanginya lagi. Wanita menggunakan berbagai-bagai cara untuk menghalang 'tamparan' itu daripada sampai kepadanya.

Tindakan demikian akan memanjangkan tempoh perasaan negatif yang menguasai jiwa suaminya. Cara ini menyebabkan perasaan positif suaminya menjadi lemah.

Dua orang manusia dihubungkan melalui perasaan. Jika perasaan dihalang daripada sampai kepada pasangan berkenaan, maka hubungan akan menjadi hambar dan tawar. Kehambaran itu akan ketara ketika berasmara.

Oleh itu, suami isteri mertilah membantu pasangan masing-masing supaya hubungan perasaan berjalan dengan baik. Biarkan perasaan negatif seperti marah, keluar sedikit demi sedikit. Jangan biarkan ia berkum0ul di dalam jiwa kerana ia akan menjadi tenaga yang kuat dan akan meletup apabila berlaku kerosakan pada masa akan datang.

Sebenarnya, kebanyakan kasih sayang yang wujud dalam rumah tangga tidak akan mati walaupun rumah tangga itu bergoyang. Apa yang terjadi ialah tenaga kasih sayang ditekan oleh tenaga-tenaga negatif sehingga tenaga kasih sayang itu tidak dapat berdiri tegak dan disangka sudah mati.

Tenaga negatif yang membelenggu tenaga kasih sayang itu mungkin lahir daripada perasaan takut yang amat sangat, kecurigaan yang kuat dan sebagainya.

Perjuangan antara tenaga positif dengan tenaga negatif sentiasa berlaku dalam jiwa manusia. Apabila tenaga negatif kuat, maka tenaga positif akan mengalah dan kadang-kadang ia disangkakan mati. Sebenarnya ia tidak, tetapi hanya pengsan.

Orang yang menyangkakan tenaga positif itu sudah mati akan mengambil keputusan untuk menceraikan isterinya. Apabila berpisah, tenaga negatif tidak mendapat bekalannya lalu menjadi lemah.

Pada masa itu tenaga positif menjadi sedar daripada pengsan. Setelah dia dikuasai semula oleh tenaga positif, dia dapat melihat dan menilai apa yang telah hilang daripadanya.

Ramai orang yang menyesal kerana tidak memberikan apa yang patut diberikannya kepada pasangan dan untuk memperbaikinya, sudah terlambat kerana pasangannya sudah tiada lagi di sisinya.

Kaum lelaki yang menjadi khalifah dipertanggungjawabkan untuk memegang hak menjatuhkan talak. Jangan menggunakan hak tersebut dengan sewenang-wenangnya. Kesan yang timbul daripada tindakan yang tidak bertanggungjawab sangat besar terhadap diri sendiri, pasangannya dan anak-anak.

Kaum wanita yang menjadi pakaian suami pula hendaklah menjadi pakaian yang berpadanan dengan suami, jangan terlalu longgar dan jangan pula terlalu ketat, Kesabaran dan bertolak ansur amat penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga.

.

Oleh: Nurul Aisyah Ma

Buku:Suamiku Sayang - Curahan Kasih Isteri

-----------------------------------------------------------------------------------------

.

.

About The Author
Michi, that's my nickname. Im just an ordinary blogger. Searching for Mardhatillah. I'm hoping something. For those who knew me already, they will know what I looking for. Pray for my strenght and my success. I want to fly without wings... And I really what I think... (^_^) LuKLuK BaiDoa
Share This
Subscribe Here

0 comments:

 

Challenge Me!

Promote This Blog

Visitors

...::Lukluk Baidoa::..